TERKINI! Musa Aman angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dijangka mengangkat sumpah secara rasmi sebagai Ketua Menteri Sabah selepas gabungan BN mencapai majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Angkat sumpah berkenaan juga menandakan ia penggal keempat Musa mengetuai kerajaan negeri sejak pelantikan pada 2003 mengikut sistem penggiliran.

Musa menjadi ketua menteri selepas mengetuai kemenangan BN pada pilihan raya umum 2004.

Bagaimanapun, Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sibuga berjaya mempertahankan jawatan itu selepas BN Sabah menang majoriti selepas dua calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan menyokong BN.

Angkat sumpah itu dijangka berlangsung di Istana Negeri pada pukul 8.30 malam.

Barisan Nasional (BN) Sabah akan terus memegang tampuk pemerintahan Negeri di Bawah Bayu untuk lima tahun akan datang.

Walaupun hanya menang 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semalam berbanding 48 kerusi pada PRU13, BN Sabah masih boleh membentuk kerajaan negeri itu.

Kejayaan membentuk kerajaan negeri baharu tersebut susulan tindakan calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang bersetuju untuk bekerjasama dengan BN Sabah membentuk kerajaan negeri.

Ekoran sokongan kepada BN itu, gabungan tersebut kini mempunyai 31 kerusi – mencukupi untuk membentuk majoriti mudah.

Untuk rekod, pada PRU14 BN Sabah menang 29 kerusi, Parti Warisan Sabah (21 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (2 kerusi), DAP (6 kerusi) serta STAR (2 kerusi).

Ini menjadikan BN menang 29 kerusi, pakatan Warisan-PKR-DAP (29 kerusi). Parti STAR pula sebagai kuasa penentu, kingmaker, untuk menentukan pembentukan kerajaan negeri.

Tindakan STAR yang menyatakan sokongan kepada BN itu melenyapkan teka-teki parti manakah yang akan mentadbir Sabah.

Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, STAR akan bekerjasama dengan BN untuk menubuhkan kerajaan.

“Saya rasa gabungan ini amat sesuai untuk kestabilan negeri dan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman di Kota Kinabalu pada Khamis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *